Isnin, 17 Ogos 2009

idealisme dan realiti

Imbangkan idealisme dan realiti

Oleh DR. SIDEK BABA

Mempunyai idealisme dalam hidup adalah sesuatu yang baik bagi remaja. Zaman remaja adalah zaman bercita-cita malah berangan-angan. Remaja amat suka membina fantasi dan impian. Fitrah remaja mencari erti bagi kehidupan dan makna bagi kebahagiaan. Membina idealisme memang menjadi resam fikir dan tabiat remaja. Tanpa idealisme remaja hilang impian dan tandus cita-cita.

Idealisme harus diimbangi dengan pemahaman terhadap realiti. Memahami realiti amat penting supaya dalam membina sesuatu strategi pelaksanaan, faktor idealisme dan realiti diseimbangkan. Menjadi seorang remaja yang idealis sekali gus mesti menjadikan remaja yang realis iaitu peka terhadap realiti. Idealisme memberikan pedoman dan arah tuju tentang sesuatu. Idealisme tanpa pemahaman terhadap realiti ibarat kiambang yang indah bunganya di permukaan air tetapi akarnya tidak berjejak di bumi dan bila dilanda arus deras kiambang itu mungkin hanyut. Memahami realiti mesti ada idealisme. Tanpa idealisme , remaja akan kehilangan pedoman yang baik, pemikiran yang jelas dan arah tuju yang terbimbing.

Mempunyai idealisme bermakna pemikiran remaja jadi subur dan berkembang. Selalunya idealisme bermula dengan angan-angan dan cita-cita. Bila angan-angan menjadi tekad dan cita-cita menjadi azam, idealisme mula mengambil tempat. Biasanya para remaja amat suka benda-benda yang ideal dan suka membayangkan sesuatu yang cukup sempurna dan indah. Tanpa asas ilmu yang kuat, asas pemikiran yang mantap, pemahaman terhadap realiti, idealisme bakal tinggal sebagai idealisme. Idealisme hanya boleh berjalan sekiranya para remaja memahami realiti sesuatu supaya wujud perimbangan yang baik antara upaya melaksana dengan strategi yang di bina. Ada ketikanya bila idealisme tinggi, keupayaan melaksanakannya rendah, hasilnya tidak sebanyak mana. Ada kalanya bila idealisme terlalu rendah, tuntutan terhadap realiti amat tinggi menyebabkan keupayaan melaksana kehilangan arah dan membangkitkan masalah.
Tidak salah bagi seseorang remaja bercita-cita menjadi seorang doktor, jurutera atau saintis pada masa depan asal saja para remaja membuat perancangan yang rapi dan penuh dengan disiplin tentang fokus terhadap ilmu dan pembelajaran, ulang kaji, persiapan mental , spiritual dan fizikal. Apalagi untuk menjadi seorang yang pakar dalam pengkhususan tertentu ia memerlukan dayausaha yang tinggi, ketekunan dan kesungguhan yang luar biasa.
Tidak salah juga bagi seseorang remaja bercita-cita untuk menjadi pemimpin negara dan pemimpin umat Islam pada masa depan asal saja idealisme itu dibina berasaskan penguasaan ilmu mengurus diri dan ilmu mengurus sistem dengan baik dan seimbang di samping membina kekuatan peribadi dan upaya bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Tidak ada jalan singkat sesuatu idealisme boleh menjadi realiti. Sesuatu yang baik memerlukan juga suasana yang baik untuk ia berkembang subur. Sesuatu yang baik dilontarkan dalam realiti yang tidak baik tanpa adanya perancangan dan strategi, keutamaan dan fokus, kebaikan itu boleh hilang begitu saja. Tetapi kebaikan yang dilontarkan dalam suasana yang baik lebih mudah penerimaannya. Namun tidak semua keadaan adalah kondusif untuk idealisme berkembang. Ia menuntut pemikiran strategik supaya idealisme tidak padam tetapi pemahaman terhadap realiti membolehkan pendekatan berjalan dan kesan berlaku.

Akidah

Rasulullah s.a.w. dalam membangunkan akidah umat di Mekah, menghadapi realiti yang amat mencabar. Keteguhan sistem berhala yang membawa kekentalan syirik di kalangan musyrikin Mekah tidak mudah untuk ditembusi. Lalu Rasulullah membina strategi dakwah dengan memulakan seruan kepada keluarga terdekat, kemudian berkembang di kalangan sahabat dan akhirnya di kalangan awam. Bila asas kejayaan sudah ada, tentangan mula diperhebatkan dan akhirnya musyrikin Mekah mengambil keputusan untuk menghapuskan Baginda s.a.w..
Rasullullah tidak panik sebaliknya mengatur strategi berhijrah ke Madinah. Baginda mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar supaya wujud talian hubungan antara faktor Madinah dengan faktor Mekah untuk perjuangan nafas panjang. Bila Madinah menjadi contoh terbaik, Rasulullah ingin kembali semula ke Mekah, tersekat di Hudaibiah dan akhirnya berjaya kembali ke Mekah dengan kekuatan yang lebih. Peristiwa ini amat penting diteliti oleh para remaja bahawa tidak salah memiliki cita-cita unggul yang diredai Allah tetapi ia harus berlaku dengan perancangan yang teliti, strategi bijaksana dan rasa tolak ansur yang tinggi dan tidak melupakan azam dan tekad untuk membawa kembali umat manusia kepada hidup beragama yang fitrah.

Islam adalah agama yang amat ideal dan sempurna. Tetapi pemeluknya pada hari ini tidak sesempurna agamanya. Pada masa lalu umat Islam mempunyai Nabi dan Rasul untuk memberikan pimpinan dan contoh yang langsung. Kemudian diikuti oleh para sahabat Nabi, para tabie-tabieen, para solaf as soleh, para ulamak dan ilmuan yang tersohor dalam bidang dan lapangan masing-masing. Sebab itu mereka mampu melahirkan tamadun contoh dan Barat terhutang ilmu kepada umat Islam.

Realiti umat Islam pada hari ini amat terpengaruh dengan cara hidup Barat, faham kebendaan yang semakin meningkat, amalan hedonestik yang semakin tinggi, prestasi ekonomi yang tidak membanggakan, masih kekal sebagai masyarakat pengguna bukan masyarakat penyumbang, masalah sosio-budaya yang parah, dilihat negatif oleh orang lain dan terus berbalah dalam pelbagai isu dan hilang daya kepimpinan dan arah tuju.
Tidak salah bagi remaja hari ini membina semula idealisme unggul untuk memperkasa umat Islam supaya mereka disegani dan dihormati dan dijadikan contoh oleh orang lain. Titik mulanya ialah membangunkan ilmu yang sepadu. Tanpa ilmu yang sepadu tidak mungkin ia bakal melahirkan peribadi-peribadi remaja yang seimbang iaitu hebat kekuatan peribadinya dan unggul kekuatan ilmu akademik , sains dan teknologi.

Reflektif

Remaja Islam hari ini dituntut tidak hanya nostalgik tentang pencapaian silam umat Islam dalam membina tamadun contoh. Remaja Islam harus reflektif tentang kehebatan silam dengan meneliti pra-syarat yang menyebabkan mereka tersohor. Antara faktornya ialah upaya penyelidikan yang tinggi menggabungkan kekuatan akal dengan melakukan tadabbur atau kaji selidik di pedoman oleh al-Quran yang menjadi sumber hikmah yang amat bernilai. Darinya lahir karya-karya besar dan asli dalam bidang matematik, sains, perubatan, falsafah dan logik yang melonjakkan imej Islam sebagai umat contoh.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sedang melakukan percubaan membina idealisme ini dengan mengambil hampir 150 pelajar terbaik setiap tahun ke program 18 bulan Tahfiz Quran di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Pelajar ini apabila tamat, disalurkan pula ke Kuliyyah Perubatan, Farmasi, Sains, Kejuruteraan, Ekonomi dan lain-lain. Diharapkan pelajar-pelajar terbaik ini bukan saja menguasai ilmu al-Quran tetapi menjadikan sumber itu untuk meneliti kembali kitab-kitab besar Ibn Sina Qanun fit Tib dan kitab-kitab Al Gebra al Khawarizmi dan kitab-kitab yang lain secara reflektif supaya keinsafan menghubungkan al-Quran sebagai sumber ilmu memandu umat Islam berfikir dan berilmu secara sepadu.

Di tangan remajalah sebenarnya terletak idealisme ini supaya jangka panjangnya ia menjadi suatu realiti. Amat silap bagi remaja melihat umat Islam hari dengan segala masalah dan kekurangannya dengan idealisme yang tinggi tetapi tanpa memiliki strategi dan keutamaan terhadap ilmu dan kepakaran di samping kekuatan peribadi.

Ia harus kembali kepada program bina insan yang terarah dan terancang baik di peringkat keluarga, sistem pendidikan dan juga masyarakat. Sistem pendidikan harus bersifat integratif dalam metodologi pengajaran-pembelajarannya supaya jenis modal insan yang dilahirkan adalah di kalangan mereka yang mampu menghadapi cabaran yang pelbagai. Harus wujud nantinya di kalangan remaja atau bakal menjadi dewasa orang-orang yang memiliki peribadi unggul atau Towering Personality yang mampu meneroka perubahan dan memimpin zaman supaya acuan perubahan yang dibawa ialah berasaskan acuan kita sendiri.

- PROFESOR DR. SIDEK BABA ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan