Rabu, 28 Januari 2009

STRATEGI PENGAJARAN LISAN


PENGENALAN

Keupayaan bahasa lisan seseorang kanak-kanak bergantung kepada pendedahan yang diterimanya daripada persekitaran selain daripada keupayaan kognitif yang dimilikinya. Teori interaksi telah menegaskan kepentingan menyediakan peluang-peluang untuk berinteraksi yang lebih luas kepada kanak-kanak untuk membantu mereka menguasai bahasa lisan dengan cekap.Oleh itu guru perlu memperbanyakkan aktiviti lisan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelasnya.


STRATEGI PENGAJARAN LISAN

Pengajaran lisan kepada kanak-kanak bukanlah perkara yang mudah dan boleh dianggap remeh. Walaupun kemahiran lisan adalah kemahiran yang paling awal dikuasai kanak-kanak, namun mereka tetap memerlukan pembelajaran lisan yang tersusun dan terancang supaya kemahiran lisan yang sedia ada itu dapat dikembangkan dan dimantapkan lagi

Seorang guru yang hendak mengajar kemahiran lisan kepada muridnya perlu
mempunyai strategi pengajaran yang jelas. Guru perlu jelas apakah pendekatan yang hendak diambilnya, apakah kaedah yang sesuai digunakan untuk tajuk dan pada situasi tertentu, dan akhirnya apakah teknik pengajaran yang sesuai dengan pendekatan dan kaedah yang telah dipilih. Dari situlah dipilih aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan kebolehan muridnya.


A) PENDEKATAN

Pendekatan mencerminkan satu falsafah, pandangan, pegangan, atau pendirian bagi melihat, memahami, dan mendekati sesuatu perkara. Dalam bidang pedagogi bahasa, pendekatan bersifat abstrak, dan falsafah yang berkaitan dengan pendekatan itu bersifat teoritis. Kekuatan sesuatu pendekatan itu hanya dapat dinilai setelah dilaksanakan, misalnya di dalam bilik .

Berkaitan dengan pengajaran bahasa, Kamarudin Hj.Husin (1988) memberikan empat jenis pendekatgan iaitu:

i. pendekatan induktif
ii. pendekatan deduktif
iii. pendekatan eklektik, dan
iv. pendekatan komunikatif


Pendekatan Induktif

Berdasarkan pendekatan induktif, pengajaran dimulakan secara melihat contoh-contoh unsur bahasa yang diajar. Melalui contoh-contoh yang diberi itu akan membantu pelajar membuat kesimpulan atau keputusan tentang aspek bahasa yang diajar. Guru hanya membantu murid melalui soalan-soalan, berbincang, memerhati, memberi contoh-contoh dan sebagainya, dan akhir sekali memberi peluang kepada murid membuat kesimpulan sendiri berdasarkan pemahamannya.


Pendekatan Deduktif

Pendekatan deduktif adalah berlawanan dengan pendekatan induktif, iaitu dalam pendekatan ini pengajaran dibuat dengan memberi kesimpulan atau generalisasi terlebih dahulu di awal pengajaran dan kemudian barulah dikemukakan contoh-contoh yang sesuai selepasnya.

Pendekatan Eklektik

Pendekatan eklektik adalah gabugan kedua-dua pendekatan induktif dan pendekatan deduktif bagi membentuk satu strategi pengajaran. Model pendekatan eklektik bergantung kepada pendekatan mana yang diberi penekanan . Model-model di bawah akan membantu anda memahami penggunaan pendekatan eklektik.

a) Penekanan kepada pendekatan induktif:


Contoh/fakta Kesimpulan Contoh


b) Penekanan kepada pendekatan deduktif:

Kesimpulan Contoh Generalisasi



Pendekatan Komunikatif

Anda tentu masih ingat tentang teori pemerolehan bahasa interaksional yang meniktikberatkan proses interaksi dalam proses pemerolehan bahasa. Begitu juga dengan pendekatan komunikatif yang menyarankan murid-murid diberi peluang menggunakan bahasa dalam konteks dan situasi tertentu. Murid dilatih menggunakan bahasa dengan peraturan-peraturan yang betul termasuk juga kemahiran menggunakan bahasa mengikut konteks dan situasi.



B) KAEDAH

Kaedah adalah cara yang digunakan dalam sesuatu proses pengajaran. Kaedah merujuk kepada cara mengajar yang disusun dan dilaksanakan untuk mengajar sesuatu kemahiran bahasa kepada pelajar di dalam bilik darjah. Kaedah yang digunakan adalah untuk menyokong pendekatan pengajaran yang dipilih oleh guru. Terdapat berbagai-bagai kaedah pengajaran bahasa yang dapat diaplikasikan untuk pengajaran lisan

Antara kaedah yang sesuai digunakan dalam mengajar bahasa adalah seperti kaedah tatabahasa terjemahan, kaedah Terus, Kaedah askar/tentera, kaedah nahu terjemahan, dan sebagainya. Anda kena cari sendiri lah penjelasannya ye!!


C) TEKNIK

Teknik adalah cara yang lebih khusus yang digunakan untuk mengajar (atau menguji) sesuatu kemahiran atau aspek bahasa. Teknik dicipta untuk membantu guru menjayakan sesuatu kaedah pengajaran. Antara teknik pengajaran lisan adalah bercerita, berlakon, berbincang, sumbang saran, tunjuk cara, main peranan, soal jawab, dan sebagainya. Teknik pengajaran ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan teknik pengajaran yang dipilih.

Sebagai kesimpulan, pertalian antara pendekatan, kaedah, dan teknik dapat dilihat seperti berikut:


Teori
Bahasa

Pendekatan
pengajaran

Kaedah
pengajaran

Teknik
pengajaran



Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, pendekatan, kaedah, dan teknik ini dilaksanakan secara kuliah, kelas, kumpulan, atau secara individu mengikut kesesuaian. Bagi kanak-kanak masalah pembelajaran, pengajaran secara individu adalah diutamakan.


TEKNIK PENGAJARAN LISAN

Teknik pengajaran lisan yang dipilih haruslah menepati objektif pengajaran dan juga bersesuaian dengan umur, minat, dan kebolehan murid. Objektif teknik pengajaran lisan adalah untuk membolehkan murid-murid memperoleh kemahiran lisan dengan mudah dan berkesan. Teknik pengajaran lisan bukan sahaja dijalankan melalui aktiviti pelajar sahaja tetapi boleh dijalankan juga dengan menggunakan bahan bantu mengajar seperti televisyen, radio, tayangan video , dan sebagainya.

Antara teknik pengajaran lisan tersebut adalah bercerita, berbual, menyanyi, berlakon, main peranan, boneka, sumbang saran, perbincangan , dsb.

i. Teknik bercerita

Teknik bercerita sangat digemari oleh kanak-kanak dan memainkan peranan yang penting dalam pengajaran lisan. Dalam pengajaran bahasa secara umumnya, teknik bercerita bermaksud guru menyampaikan pengajarannya melalui aktiviti bercerita, iaitu guru akan bercerita kepada murid-muridnya dan seterusnya disusuli dengan aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti soal jawab, murid menceritakan semula cerita tersebut, dan sebagainya. Dalam konteks pengajaran lisan, teknik bercerita lebih tertumpu kepada murid itu sendiri, iaitu mereka akan bercerita secara lisan sama ada tentang pengalaman, harapan, tentang sesuatu cerita yang didengar atau dibaca, dan sebagainya.

Bagi kanak-kanak berkeperluan khas, guru hendaklah membantu mereka melalui soalan-soalan atau gambar-gambar seperti gambar tunggal atau gambar bersiri. Semasa murid bercerita, guru hendaklah memberi perhatian tentang sebutan, bahasa, gaya pertuturan, dan kelancaran.


ii. Teknik perbualan

Aktiviti perbualan kebiasaannya dilakukan berdasarkan sesuatu tajuk. Teknik perbualan bertujuan melatih murid berkomunikasi secara sosial seperti berbual melalui telefon. Perbualan hendaklah berkisar tentang perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka setiap hari. Murid-murid boleh diminta bercakap tentang ibu atau bapa, kawan, hobi, permainan, dan sebagainya. Perbualan boleh berlangsung antara guru dengan murid atau sesama murid. Tajuk yang guru tetapkan hendaklah sesuai dengan pengalaman murid supaya mereka dapat berbual tentang tajuk itu.


iii. Teknik menyanyi

Sifat semula jadi kanak-kanak sangat suka mendengar nyanyian dan juga menyanyi. Bagi kanak-kanak, menyanyi dianggap sebagai satu bentuk aktiviti yang merehatkan dan menyeronokkan. Guru menggunakan teknik menyanyi ini untuk menarik minat murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran di kelas. Guru perlulah bijak memilih lagu yang hendak dinyanyikan oleh murid-murid iaitu lagu yang betul tatabahasa, dan perbendaharaan katanya. Selain itu guru boleh memilih rentak lagu yang diminati oleh murid-murid dan mencipta lirik baru dengan memasukkan perkataan-perkataan yang perlu murid kuasai sebutannya.


iv. Teknik lakonan

Teknik lakonan amat baik untuk mengajar dan melatih bahasa lisan kanak-
kanak. Melalui lakonan kanak-kanak dilatih melakonkan watak-watak
tertentu dengan menggunakan skrip pendek dan ringkas. Teknik ini dapat
melatih sebutan, intonasi, dan kelancaran pertuturan kanak-kanak di
samping melatih menggunakan pelbagai jenis ayat seperti ayat penyata,
ayat tanya, ayat seruan, dan ayat perintah.


v. Teknik boneka

Teknik Boneka dikenali juga sebagai teknik patung atau ”puppet”. Teknik ini adalah antara teknik yang sangat digemari oleh kanak-kanak kerana pergerakan boneka dan dialog dalam lakonan boneka ini sangat menarik dan menghiburkan. Ada kanak-kanak berkeperluan khas yang pendiam tetapi akhirnya mahu bercakap setelah gurunya menggunakan boneka untuk bercakap dengannya dan dia juga menggunakan boneka untuk menjawab soalan guru tadi. Guru boleh menyediakan berbagai-bagai jenis boneka seperti boneka kayu, boneka sarung tangan, boneka tali, boneka piring dan sebagainya. Namun, boneka yang dibuat oleh murid sendiri adalah lebih bermakna kepada mereka. Bagi mencapai objektif pengajaran lisan, guru hendaklah memberi peluang muridnya bercakap atau berlakon dengan menggunakan boneka sesama mereka.

v. Teknik main peranan

Dalam teknik main peranan, murid melakonkan watak yang dipilih berdasarkan cerita atau situasi yang ditetapkan. Murid perlu faham akan peranan watak itu dan menghayatinya lalu melakonkan aksi dan percakapan watak itu. Contoh situasi yang diberi boleh seperti berikut:

Seorang murid telah terjumpa syiling dua puluh sen.
Dia pergi berjumpa gurunya dan menyerahkan syiling
itu kepada gurunya sambil memberitahu di mana dia
menjumpai syiling itu. Guru memuji sikapnya yang
amanah itu.


vii. Teknik berbincang

Dalam pengajaran bahasa, teknik berbincang sering digunakan untuk mendapatkan isi dan menyusun isi tersebut bagi sesebuah karangan. Guru boleh menjalankan teknik perbincangan ini melalui dua cara, iaitu, (1) perbincangan berlaku antara guru dengan murid-murid, dan (2) perbincangan berlaku antara murid dengan murid sama ada secara kelas atau dalam kumpulan kecil. Semasa perbincangan, isi-isi penting dicatat di papan tulis dan kemudian disusun berdasarkan kehendak tajuk perbincangan. Bagi mengajar kemahiran lisan, guru menggalakkan murid bercakap untuk memberi pendapat dengan ayat dan tatabahasa yang betul.


viii. Teknik perbahasan

Teknik ini sering digunakan oleh guru bahasa untuk melatih murid-murid kemahiran bertutur khusus di hadapan penonton yang ramai. Melalui teknik ini murid diminta berbahas tentang satu tajuk atau isu yang diberi. Teknik ini amat berkesan untuk membentuk keyakinan diri yang tinggi di kalangan murid sekolah. Bagi murid berkeperluan khas, guru boleh mengubah suai teknik perbahasan ini dalam bentuk yang lebih mudah dilakukan mengikut keupayaan murid.


Teknik-teknik pengajaran lisan di atas boleh digunakan untuk mengajar kanak-kanak masalah pembelajaran menguasai kemahiran lisan. Guru hendaklah merancang terlebih dahulu aktiviti lisan yang hendak dilaksanakan dan aktiviti yang dijalankan hendaklah berfokus kepada penglibatan murid secara optimum. Sebagai contoh, sekiranya guru memilih untuk menggunakan teknik bercerita dalam pengajarannya, maka ia hendaklah merancang aktiviti yang memberi peluang murid-muridnya menceritakan pengalaman atau minat mereka, bercerita tentang gambar besiri atau gambar tunggal, tentang ibu bapa mereka, dan sebagainya. Aktiviti sebeginilah yang dapat membantu murid menguasai kemahiran lisan mereka dengan lebih baik.


Latih Tubi Lisan

Menguasai kemahiran lisan, terutamanya sebutan adalah sukar bagi sesetengah kanak-kanak terutamanya kanak-kanak masalah pembelajaran. Kanak-kanak Down Syndrome dan kanak-kanak spastik adalah antara contoh kanak-kanak berkeperluan khas yang sering menghadapi masalah lisan terutamanya sebutan. Selain itu kanak-kanak yang mengalami masalah gagap juga sangat memerlukan aktiviti lisan untuk membantu mengurangkan masalah tersebut. Namun, bagi masalah gagap yang serius, kanak-kanak tersebut memerlukan rawatan khusus oleh pakar fisioterapi pertuturan.

Guru boleh menjalankan aktiviti-aktiviti pemulihan untuk masalah lisan seperti sebutan kepada muridnya di dalam kelas melalui aktiviti latih tubi. Latih tubi adalah satu cara mengajar dengan mengulang-ulangkan fakta atau sesuatu kecekapan yang diajar. Cara ini merupakan sebahagian daripada usaha menghafaz atau mengingat sesuatu. Tujuannya adalah untuk mencapai taraf kemahiran yang maksimum dan menjadikan apa yang dipelajari itu kekal dalam ingatan, malahan dapat digunakan dalam situasi-situasi lain.

Latih tubi amat perlu digunakan untuk kanak-kanak masalah pembelajaran. Selain mereka mengalami masalah pertuturan terutamanya dalam sebutan, mereka juga sangat lemah dalam ingatan jangka pendek dan jangka panjang. Latih tubi akan dapat membantu mereka mengingat kemahiran lisan yang dipelajari.

Terdapat dua jenis latih tubi yang biasa digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran lisan iaitu (1) latih tubi aspek sebutan atau fonologi, dan (2) latih tubi aspek struktur atau ayat.


1. Latih Tubi Aspek Sebutan ( Fonologi )

Kanak-kanak masalah pembelajaran kebanyakannya menghadapi masalah sebutan. Latih tubi jenis ini khusus digunakan untuk membantu murid yang menghadapi masalah menyebut bunyi-bunyi tertentu dalam perkataan. Ada dua jenis latih tubi bentuk ini iaitu latih tubi pasangan minimal dan latih tubi pemintal lidah.

i. Latih tubi pasangan minimal

Kanak-kanak masalah pembelajaran kerap menghadapi masalah menyebut bunyi-bunyi konsonan tertentu. Mereka kerap tersalah menyebut konsonan yang mempunyai perbezaan bunyi yang paling minimum dalam perkataan sehingga menyebabkan makna perkataan itu tersasar jauh, misalnya d dalam perkataan ladang disebut sebagai l sehingga bertukar menjadi perkataan lalang. Oleh itu guru perlu menyediakan senarai perkataan yang mengandungi konsonan d dan l dan meminta murid menyebutnya berulang-ulag kali sehingga mahir.

Contoh: dari --- lari
ladang --- lalang
lada --- lala
dada --- lada
tadi --- tali


ii. Latih tubi pemintal lidah

Latih tubi pemintal lidah sangat penting untuk melatih kanak-kanak menyebut sesuatu bunyi dengan betul dan tepat. Latih tubi jenis ini hanya menumpukan kepada bunyi tertentu yang menjadi masalah kepada kanak-kanak menyebutnya.

Contoh:

a) Masalah menyebut fonem /p/

Pandang pandan tepi pagar depan padang

b) Masalah menyebut fonem /s/ di awal perkataan ( contoh yang
sangat popular digunakan dalam bahasa Inggeris)

She sells sea shells at the sea shore. The shells she sells are sea
shore shells.


2. Latih Tubi Aspek Struktur ( Ayat )


Latih tubi struktur digunakan untuk memahirkan murid dengan bentuk-bentuk ayat tertentu dan membimbing murid menguasai kemahiran membina ayat. Dalam konteks pengajaran kemahiran lisan, latih tubi ini dapat membantu murid menyebut ayat yang lengkap dengan lancar. Terdapat berbagai-bagai jenis latih tubi jenis ini dan guru juga boleh mencipta sendiri bentuk latih tubi struktur yang hendak diberikan kepada muridnya.







i. Latih tubi gantian



Saya suka makan

mi
nasi
bubur
mihun



Bahagian tetap
Bahagian
gantian
Bahagian tetap

1. Tuan Puteri itu

2. Buku cerita itu

3. Rumah Pak Ali

sangat
amat
terlalu
sungguh
agak
paling
terlampau


cantik.

besar.

tebal.


Bahagian gantian
Bahagian
tetap
Bahagian gantian

Pencuri
Penyamun
Penculik
Penjahat
Perompak
Penyeluk saku



itu telah

dihukum.
ditangkap
dipukul.
diberkas.
dipenjarakan.
dibicarakan.



ii. Latih tubi berkembang


Guru menyebut


Murid menyebut

Saya suka main
bola
sepak
dengan kawan

di padang

sekolah

Saya suka main.
Saya suka main bola.
Saya suka main bola sepak.
Saya suka main bola sepak dengan kawan.
Saya suka main bola sepak dengan kawan di padang.
Saya suka main bola sepak dengan kawan di padang sekolah.



iii. latih tubi ulangan



Guru menyebut


Murid menyebut

Awak boleh pergi.
duduk
tidak
Ali,makan
kucing, panjat pokok

Awak boleh pergi.
Awak boleh duduk.
Awak tidak boleh duduk.
Ali boleh makan.
Kucing boleh panjat pokok.



iv. latih tubi mengubah


Guru /murid menyebut


Murid menyebut

Saya tidak hendak makan.
Saya tidak berjalan.
Ini bukan buku.
Dia tidak suka makan durian


Saya hendak makan.
Saya sedang berjalan.
Ini buku.
Dia suka makan durian.


Berdasarkan beberapa contoh latih tubi yang diberikan di atas, jelas menunjukkan bahawa latih tubi boleh membantu kanak-kanak yang bermasalah dalam kemahiran lisan membetulkan sebutan dan juga struktur ayat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan